Teori Pembelajaran Sosial


APAKAH TEORI PEMBELAJARAN SOSIAL?


Pengenalan

Pada tahun 1941, dua orang ahli psikologi, iaitu Neil Miller dan John Dollard dalam laporan hasil eksperimennya mengatakan bahawa peniruan (imitation) merupakan hasil proses pembelajaran yang ditiru daripada orang lain. Proses belajar tersebut oleh Miller dan Dollard dinamakan "Social Learning" ataupun "Pembelajaran Sosial". Tingkahlaku peniruan (imitative behavior) manusia terjadi kerana manusia merasa telah memperoleh imiginasi ketika kita meniru perilaku orang lain, dan memperoleh hukuman ketika kita tidak menirunya.

Dua puluh tahun berikutnya, Albert Bandura dan Richard Walters (1959, 1963), telah melaksanakan eksperimen lain yang juga berkenaan dengan peniruan. Hasil eksperimen mereka mendapati, peniruan boleh berlaku hanya melalui pengamatan terhadap perilaku model (orang yang ditiru) meskipun tanpa sebarang peneguhan. Proses belajar semacam ini disebut "Observational Learning" atau pembelajaran melalui pengamatan. Bandura (1971), kemudian menyarankan agar teori pembelajaran sosial diperbaiki memandangkan teori pembelajaran sosial yang sebelumnya hanya mementingkan perilaku tanpa memberi pertimbangan terhadap proses mental seseorang.

Teori Pembelajaran Sosial yang dikemukakan oleh Bandura telah memberi penekanan tentang bagaimana perilaku kita dipengaruhi oleh persekitaran melalui peneguhan (reinforcement) dan observational learning, cara memandang dan cara berfikir yang kita miliki terhadap sesuatu maklumat dan juga sebaliknya, iaitu bagaimana tingkah laku kita mempengaruhi persekitaran dan menghasilkan peneguhan (reinforcement) dan peluang untuk diperhatikan oleh orang lain (observational opportunity).



MAKLUMAT LAIN
 
Teori Permodelan : Bandura (1925)

Bandura dan Walters menggunakan sekumpulan kanak-kanak tadika berumur 3 hingga 6 tahun untuk menjalankan kajian mereka pada tahun 1963, dan berjaya membuktikan bahawa kanak-kanak keseluruhanya meniru model yang ditonton dengan gaya yang lebih agresif. Beliau merumuskan bahawa pelbagai tingkah laku sosial seperti keagresifan, persaingan, peniruan model dan sebagainya adalah hasil pemerhatian daripada gerak balas yang ditonjolkan oleh orang lain.






Di dalam eksperimen yang pertama, mereka menggunakan dua kumpulan berikut:

A (KUMPULAN KAJIAN)
Kanak-kanak tersebut memerhati sekumpulan orang dewasa yang sedang menumbuk, menendang sebuah patung besar yang dinamakan Patung Bobo.


B (KUMPULAN KAWALAN)
Kanak-kanak tersebut memerhati sekumpulan orang dewasa bemesra dengan patung Bobo tersebut.



JADUAL 1 : Eksperimen pertama

Kedua–dua kumpulan kanak-kanak tersebut kemudian dibawa ke tempat permainan yang serupa dengan situasi dengan eksperimen tersebut. Didapati kanak-kanak kumpulan A bukan sahaja memukul, menumbuk, menendang dan menjerit pada patung tersebut, bahkan juga menunjukkan tingkah laku yang lebih agresif daripada tingkah laku orang dewasa yang telah diperhatikan melalui video tersebut.

Sedangkan kanak-kanak kumpulan B tidak menunjukan sebarang tingkah laku agresif seperti yang terdapat dalam kumpulan A.


Kesimpulannya, didapati bahawa daripada eksperimen yang pertama ini menunjukkan tingkah laku kanak-kanak adalah dipelajari melalui peniruan atau pemodelan.

Di dalam eksperimen  yang kedua, Bandura dan Walters membahagikan kanak-kanak dalam tiga kumpulan, iaitu dua kumpulan (A dan B) sebagai kumpulan kajian dan satu kumpulan C sebagai kumpulan kawalan.
.

A (KUMPULAN KAJIAN)
Kanak-kanak memerhati sekumpulan orang dewasa menumbuk patung besar, kemudian mendapat hadiah
B (KUMPULAN KAJIAN)
Kanak-kanak memerhati sekumpulan orang dewasa menumbuk patung besar, kemudian mendapat denda.
C (KUMPULAN KAWALAN)
Kanak-kanak disuruh memerhati sekumpulan orang dewasa bermesra dengan patung besar.

JADUAL 2 : Eksperimen 2


Selepas pemerhatian, ketiga-tiga kumpulan dibawa ke tempat permainan yang serupa dengan situasi eksperimen tersebut. Didapati kanak-kanak Kumpulan A menunjukkan tingkah laku agresif yang berlipat ganda berbanding dengan orang dewasa yang diperhatikan oleh mereka. Sedangkan, kanak-kanak dari Kumpulan B dan Kumpulan C tidak menujukan sebarang tingkah laku agresif mereka.

Kesimpulannya, didapati daripada eksperimen yang kedua ini jelas menunjukkan tingkah laku peniruan atau pemodelan adalah hasil peneguhan.

Bedasarkan rumusan ini, Bandura mengemukakan Teori Pemerhatian untuk menjelaskan pelbagai tingkah laku sosial yang dipelajari oleh kanak-kanak. Teori pemerhatian Bandura juga dikenali sebagai teori peniruan atau Teori Permodelan.


Rajah 1:Proses pembelajaran melalui pemodelan


Eksperimen yang dilakukan oleh Bandura adalah pembentukan sesebuah tingkah laku boleh berlaku melalui beberapa cara, iaitu:

1. Meniru secara langsung
Iaitu kanak-kanak melihat model sendiri atau secara tidak langsung iaitu dengan menonton filem, video, mendengar huraian atau melihat gambar foto. contohnya, kanak-kanak meniru ibu bapa atau guru dari segi pakaian, pertuturan, gaya berjalan dan sebagainya.

2. Peniruan melalui sekatlakuan dan tak sekatlakuan
Sekatlakuan merupakan sekatan tingkah laku yang sesuai di dalam situasi A tetapi tidak sesuai dalam situasi B. Contohnya, murid yang boleh bersorak-sorak di kantin ketika memanggil rakan tidak melakukannya di dalam bilik darjah. Ini dipelajari oleh murid-murid disebabkan adanya peraturan-peraturan bilik darjah yang boleh menyebabkan hukuman jika amalan itu berlaku. Murid-murid juga meniru melalui tak sekatlakuan. Ini bermakna murid-murid akan terus meniru amalan di dalam sesuatu situasi. Contohnya, kalau dia telah mempelajari bahawa tindakan sorak-menyorak tidak sesuai di dalam kelas tetapi kali ini dengan guru yang baru, amalan itu tidak dihukum, murid-murid berkenaan akan bermula menjeritkan jawapan. inilah merupakan peniruan melalui tak sekatlakuan.

3. Peniruan melalui elisitasi
Dalam proses elisitasi, seseorang individu akan turut melakukan apa sahaja yang dilakukan oleh orang lain sekiranya dia telah pun mengetahui bagaimana melakukan sesuatu tindakan yang dilakukan oleh orang itu. Contohnya, apabila melihat seseorang murid membaca buku cerita di dalam kelas, Hassan pun mengeluarkan buku cerita lalu membacanya. Keinginan untuk membaca itu timbul selepas melihat murid lain membaca. Sekiranya tidak ada murid yang membaca, kemungkinan keinginan Hassan untuk membaca tidak timbul. Pendek kata, satu-satu gerak balas seseorang individu hanya timbul setelah memerhati gerak balas orang lain.

Rajah 2:Jenis-jenis model dalam peniruan




JENIS-JENIS MODEL DALAM PENIRUAN/PERMODELAN

1. MODEL YANG LEBIH TUA
Peniruan ini berlaku kerana kuasa kebebasan, kekayaan, kehormatan

2. MODEL YANG BERSTATUS TINGGI
Faktor kuasa dan kekayaan daripada model yang berstatus tinggi mendorongkan individu dalam kelas sosial rendah meniru.

3. MODEL YANG MEMPUNYAI KECERDASAN TINGGI
Orang yang kurang pintar dan kurang pandai biasanya menyanjung dan memuja orang yang pintar dan pandai. Oleh itu, secara tidak langsung mereka meniru tingkah laku model tersebut.

4. MODEL YANG TERKENAL DALAM BIDANG SESUATU KEPAKARAN
Kerana kepakaran model dalam bidang tertentu seperti pakar pendidikan, artis, sasterawan, ahli psikologi, doktor, profesor dan sebagainya. Mereka kurang mahir di dalam bidang tersebut berkecenderungan meniru tingkah laku model.


Implikasi Teori Pembelajaran Sosial Terhadap Pengajaran Dan Pembelajaran


Berdasarkan Teori Pembelajaran Sosial yang dipelopori oleh Albert Bandura, pemerhati akan meniru setiap tingkahlaku 'model' sekiranya tingkahlaku model tersebut mempunyai ciri-ciri seperti bakat, kecerdasan, kuasa, kecantikan atau pun populariti yang diminati oleh pemerhati.

Sudah tentu, sebagai seorang guru, kita sewajarnya turut mempunyai sedikit sebanyak mengenai ciri-ciri yang disebutkan di atas. Ia secara tidak langsung amat berkait rapat terhadap proses pengajaran dan pembelajaran.

           Antara implikasi yang berkait rapat dengan Teori Pembelajaran Sosial terhadap pengajaran dan pembelajaran yang pertama ialah sebagai seorang guru, amat penting bagi kita memberi setiap orang murid peluang untuk memerhati dan mencontohi pelbagai jenis model yang menunjukkan tingkahlaku yang diingini. 

           Oleh yang demikian, kita hendaklah memastikan bahawa kita sendiri boleh menunjukkan tingkahlaku yang boleh diteladani serta memaklumkan kepada anak murid berkenaan kesan sesuatu tingkahlaku yang tidak bermoral, melanggar norma-norma masyarakat dan undang-undang, bersifat eksploitasi dan manipulasi dan sebagainya.

          Kedua, kita sebagai guru perlu memastikan dan berusaha menyediakan persekitaran sosial yang kondusif agar modeling boleh berlaku. Perkara seperti memberi insentif, pengukuhan dan sokongan moral seharusnya diberi kepada murid-murid secara berterusan bagi menggalakkan berlakunya tingkahlaku yang baik dalam kalangan murid-murid pada masa kini. 

          Selain itu, persembahan pengajaran seseorang guru seharusnya tersusun dan dapat menarik minat dan perhatian murid-murid serta seharusnya dapat dijadikan model untuk diikuti oleh mereka.

         Tambahan lagi, guru mestilah sentiasa bersedia dengan kemahiran komunikasi agar setiap kali sesi demonstrasi pembelajaran di dalam kelas jelas,dapat difahami dan dapat diikuti oleh murid dengan mudah dan tepat. Contohnya, jika guru mengajar cara-cara untuk menghasilkan lukisan, guru mestilah menerangkan dahulu langkah-langkahnya agar ia dapat diikuti oleh murid secara mudah.
          Di samping itu, guru juga boleh membawa bahan bantu mengajar atau contoh-contoh yang berkenaan dengan apa yang dipelajari di dalam kelas agar murid dapat melihat secara terus dan seterusnya lebih memahami dengan apa yang diajar oleh gurunya.


         Guru juga boleh menjemput seorang murid agar menjadi contoh kepada murid lain berdasarkan kerjanya yang bagus atau pun untuk membuat demonstrasi mengenai hasil kerja yang dihasilkannya yang terbaik itu.


         Guru juga perlu menyemai nilai-nilai murni dan sentiasa menggunakan psikologi serta simulasi semasa sesi pengajaran dan pembelajaran. Ianya dilihat dapat membentuk murid ke arah yang lebih proaktif dan produktif. Contohnya, guru boleh membuat aktiviti seperti kuiz, teka-teki, bercerita dan bertanyakan pelbagai soalan yang mencabar minda kepada murid agar kemahiran kognitif mereka dapat berkembang secara berterusan. Melalui aktiviti ini juga, murid dapat berimaginasi dan seterusnya dapat memikirkan idea-idea baharu dan bernas sesuai dengan tahap mereka.



Analisis Teori Pembelajaran Sosial menggunakan Teknik SWOT











Related Posts with Thumbnails